Latar belakang Perang Tok Janggut

Dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam 1909, Kelantan telah jatuh di bawah naungan kerajaan Inggeris. Kelantan pada masa itu dibawah pemerintahan Tuan Long Senik atau Sultan Muhammad IV. Pada 22 Oktober 1910, kerajaan Inggeris telah membuat perjanjian dengan kerajaan Kelantan. Semenjak itu mulalah campur tangan kerajaan Inggeris di Kelantan. Pihak kerajaan Inggeris juga memperkenalkan institusi pentadbiran baru seperti balai polis dan mahkamah di peringkat daerah termasuk juga di daerah Pasir Putih yang sebelumnya dikenali sebagai Pangkalan Limbungan. Sebelum kedatangan Inggeris, daerah tersebut ditadbir oleh seorang pembesar kerajaan Kelantan yang dikenali dengan gelaran Seri Maharaja Tua.

Pada masa itu, di Jeram yang terletak di dalam daerah Pasir Putih, tinggal seorang hulubalang Seri Maharaja Tua yang bernama Munas. Munas mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Tahir dan Hassan yang dikenali sebagai Tok Janggut.